Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 23 April 2009 terdapat kejadian luar biasa melibatkan 854 kes “severe atypical pneumonia” yang menyebabkan 59 kematian di Mexico. Kejadian yang berlaku diantara 17-23 April 2009 adalah disebabkan oleh “atypical strain of swine influenza virus A (H1N1). Daripada 50 sample yang diuji didapati terdapat 17 kes disahkan positif untuk virus ini. Sementara di Amerika Syarikat pula terdapat 8 kes yang disahkan positif terhadap virus tersebut di mana 6 kes adalah dari California dan 2 adalah dari Texas dan tiada kematian. Terdapat juga 9 kes yang disyaki
influenza-like illness(ILI).
Menurut laporan tersebut, terdapat juga kes-kes yang berlaku dikalangan anggota kesihatan termasuk ahli keluarga yang rapat dengan mereka. Kebanyakan kes berumur 45 tahun ke bawah. Gejala dan tanda-tanda jangkitan bagi virus ini adalah demam, batuk, sakit badan dan susah bernafas . Kebiasaannya jangkitan Swine Flu berlaku dikalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi. Tetapi di dalam situasi ini mereka yang terlibat tidak mempunyai sebarang sejarah “close contact” dengan ternakan babi. Buat masa ini pihak Amerika sedang menyelaras dengan pihak WHO untuk tindakan selanjutnya.
Pada 25 April 2009, jam 3.00 petang di Geneva, Switzerland (8.00 pagi Malaysia 26 April 2009), Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Director-General of World Health Organization) telah memanggil ‘Emergency Committee Meeting’ dan membuat rumusan yang seperti berikut;
a)Bahawa kejadian wabak swine-flu di Mexico dan Amerika Syarikat oleh Novel Virus Swine-flu adalah `a situation constitutes a public health emergency of international concern’.
b)Semua negara diminta meningkatkan pemantauan kejadian-kejadian luar biasa kes-kes `influenza-like illness and severe pneumonia’.
Sehingga kini, pihak WHO memaklumkan bahawa TIADA sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa susulan daripada kejadian ini.
Berdasarkan situasi yang dilaporkan oleh WHO serta saranan yang dibuat oleh mereka, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan-tindakan yang seperti berikut berkuat kuasa serta-merta.
a)Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak swine-flu dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
b)Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California atau Texas selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.
c)Saringan tanda-tanda jangkitan swine-flu di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California atau Texas selepas 17 April 2009.
d)Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak swine-flu untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa orang awam tidak perlu risau dengan situasi yang berlaku di negara Mexico dan Amerika kerana pihak berkuasa di negara berkenaan bersama dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak ini daripada menular keluar negara. Tindakan kolaborasi dan kerjasama perkongsian maklumat dan langkah-langkah pencegahan serta kawalan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan orang awam akan dimaklumkan situasi ini dari masa ke semasa dan diminta mematuhi nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kerajaan.
Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak swine-flu ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300. Maklumat di laman web Kementerian (www.moh.gov.my) akan disediakan mulai minggu ini.
SumberLawan Web Ministry of Health